Hawa,
Jangan
sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu,
dengan ayu
wajahmu dan dengan lenggok tubuhmu. Jangan kau hentakkan kakimu untuk
menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa jangan..jangan sesekali cuba menarik
perhatian kaum Adam yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang
kemurkaan dan kebencian Allah..
Hawa,
Andai
engkau belum berkahwin, janganlah kau risau akan jodohmu. Ingatlah Hawa janji
Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan menggadaikan
maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki. Jangan memakai pakaian yang
menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian atau bertujuan memikat
seorang lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya, tapi merangsang nafsunya.
Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku
khuatir dari mata turun ke hati, maka lahirnya senyuman, maka tercetusnya
salam…dan dari pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.
Hawa,
Lelaki yang
baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui
keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya,
Kemanjaannya
serta kemampuannya menggoncang iman mereka. Tapi Hawa, lelaki yang baik akan
menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan
agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang
bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk
menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu
apa matlamat dalam sebuah pertemuan antara lelaki dan wanita, yakni sebuah
perkahwinan..
Oleh itu Hawa,
Jagalah
pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai
ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah
memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, cukuplah hanya cinta daripada ibubapa
yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta
adik-beradik dan keluarga yang membahagiakan dirimu..
No comments:
Post a Comment